Ads 468x60px

Tuesday, June 30, 2009

Jangan Begitu Duhai Ibu






“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang supaya engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerja ”
~Surah Al- Ankabut (8)


Sa’ad bin Abi Waqas merupakan seorang pemuda tampan berusia lebih kurang tujuh belas tahun. Penghuni Mekah sering bercakap-cakap tentang kehidupan Sa’ad yang penuh kenikmatan serta kasih – sayangnya terhadap ibunya dan kasih sayang ibu terhadapnya.

Pada suatu hari, Sa’ad duduk termenung di atas sebuah anak bukit. Beliau dilanda perasaan dukacita. Beliau mendapat tahu sahabatnya, Abu Bakar al-Siddiq, telah meninggalkan agama Quraisy dan menganut agama baru yang diseru oleh Muhammad bin Abdullah.


Abu Bakar.. sahabat yang sentiasa menemaninya, duduk-duduk bersamanya dan berkongsi pendapat dengannya setiap hari, kini telah menganut agama Muhammad dan meninggalkan agama Quraisy. Dengan itu beliau tidak dapat bersamanya sebagaimana sebelum ini, kerana sudah tentu kaum Quraisy tidak meredai perbuatan demikian!

Sa’ad tidak bertemu dengan Abu Bakar buat beberapa hari. Beliau semakin sedih bahkan merasa amat rindu untuk bertemu sahabatnya itu. Pada satu hari, Sa’ad keluar mencari Abu Bakar untuk berbincang mengenai Muhammad dan agama yang diserunya .
Apabila mereka bertemu, Sa’ad berkata, “Duhai sahabatku yang mulia! Kenapa kamu meninggalkan agama ibu bapa dan nenek moyangmu?Kenapa kamu menganut agama yang diseru Muhammad?”

Abu Bakar duduk berbincang dengannya tentang agama Islam dan menerangkan tentang prinsip-prinsipnya, sehingga jiwa Sa’ad menjadi tenang. Hatinya telah cenderung untuk menganut agama baru itu. Abu Bakar membawa Sa’ad menemui Rasulullah (SAW). Di hadapan baginda, Sa’ad menyatakan keislamannya dan menjadi salah seorang pembela Islam.
Sa’ad telah menyembunyikan keislamannya itu dari pengetahuan ibunya. Sa’ad sedar ibunya akan marah jika mendapat tahu tentang hal itu.

Penduduk Mekah memperkatakan hal itu sehingga sampai ke pendengaran ibunya. Ibunya menjerit, “Alangkah aibnya! Anakku Sa’ad telah menukar agama dan menganut agama Muhammad? Tidak! Tidak mungkin! Demi Tuhan! Mustahil perkara itu berlaku!
Ibu Sa’ad duduk berbincang dengannya. Beliau meluahkan perasaan kasih sayangnya dan memujuk Sa’ad agar kembali kepada agama mereka. Berbagai hadiah dan tawaran yang dijanjikan kepada Sa’ad jika beliau kembali kepada agama asal tetapi Sa’ad tetap menolak. Beliau tetap berdiri teguh atas agama islam.

Ibunya berteriak, “Wahai Sa’ad! Jika kamu masih berpegang kepada agama islam dan enggan kembali kepada agama Quraisy, maka aku tidak akan makan dan minum sehingga ke akhir hayatku. Kematianku dengan cara begini akan menyebabkan orang ramai memandang hina kepadamu sepanjang hayatmu!’ Sa’ad merayu, ”Janganlah ibu menyeksa diri begitu. Walau apapun yang ibu lakukan aku tetap tidak berganjak dari agama ini”.

Ibu Sa’ad mengotakan apa yang dikatakannya. Beliau menahan diri dari makan minum namun Sa’ad tetap dengan peganganya. Walau kasihnya pada ibu amat mendalam tetapi kasih dan sayangnya terhadap Allah tidak tertanding.

Keadaan ibunya semakin lemah. Kaum kerabat Sa’ad pergi menemuinya dan memujuk, “Marilah bersama kami, wahai Sa’ad. Lihatlah keadaan ibumu buat kali terakhir sebelumbeliau meninggal”. Mereka yakin Sa’ad akan mengubah pendiriannya tatkala melihat ibunya yang terbaring menanti maut. Beliau tentu akan meninggalkan agama Muhammad demi untuk kehidupan ibu yang amat dikasihinya.

Sa’ad menemui Rasulullah dan mengadu hal tersebut, lalu Rasulullah menyuruh Sa’ad berlemah lembut dengan ibunya di samping tegas berpegang kepada agama islam sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud, “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepadaKu tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Sa’ad pergi mengunjungi ibunya. Sebaik sahaja melihat keadaan ibunya, airmata Sa’ad bercucuran keluar dan beliau merasakan seolah-olah hatinya ditusuk pisau. Sa’ad menundukkan wajahnya lalu mencium ibunya. Kemudian beliau berbisik, “Duhai ibu! Ibulah orang yang paling mulia di sisiku, ketahuilah betapa aku mengasihimu dan betapa aku memerlukanmu…namun, aku tidak akan meninggalkan Islam walau apapun tindakan ibu. Oleh itu, baiklah ibu makan dan minum. Duhai ibu! Jika ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun dan ia keluar satu demi satu, namun aku tetap dengan Islam”.

Memandangkan Sa’ad begitu kental keimanannya, akhirnya ibu Sa’ad sedar tindakannya menahan makan dan minum hanya sia-sia. Oleh itu, beliau menghentikan tindakannya dan meneruskan hidup sebagaimana biasa.
Pendirian Sa’ad amat mengkagumkan, Allah Taala telah menurunkan fimannya di dalam surah al-Ankabut ayat 8.

~dipetik dari buku kisah-kisah dari Al-Quran.


::lihatlah betapa kental keimanan apabila hidayah Allah sampai kepada hambanya.

::Namun yang dah ade nikmat islam dari kecil boleh pulak kluar agama disebabkan perkara2 yang remeh contohnye cintan2..

Seriusla dalam beragama sebab ISLAM xperlukan kite tapi kite perlukan ISLAM

W'alam

No comments:

Post a Comment