Ads 468x60px

Friday, March 11, 2011

Memupuk Cintakan Sahabat Kerana Allah




Rasulullah saw bersabda;
"Apabila salah seorang daripada kamu mencintai saudaranya, hendaklah ia memberitahunya."(Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Hakim dan lain2)
Bismillahirrahmanirrahim,

Tulisan ini merupakan ringkasan daripada beberapa buah buku dan sekadar memberi pendedahan kepada yang belum mengetahui dan memperingatkan yang sudah tahu. Sahabat adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang wajib kita syukuri dan memilih sahabat yang baik adalah satu kewajipan. Namun, bukanlah kesempurnaan menjadi ukuran sebab mana ada manusia yang sempurna selepas Rasulullah SAW.

Asas utama dalam persahabatan ialah untuk menimbulkan persaudaraan itu sendiri. Namun, ramai antara kita kurang memberi perhatian tentang ini. Dalam ringkasan Ihya Ulumuddin ada menyatakan hak2 persaudaraan dan persahabatan yang mesti dipenuhi.

1)Hak dalam harta
2)Hak dalam memberikan pertolongan
3)Hak dalam lidah dan hati(cara berdiam)
4)Hak dalam lidah(dengan ucapan)
5)Hak memberi pengampunan
6)Hak dalam doa
7)Hak dalam memenuhi kecintaan dan keikhlasan
8)Hak memberi keringanan, tidak membebankan atau paksaan

Sedikit huraian,

MEMBANTU DENGAN SEPENUH HATI


Kata Imam Hasan Al-Banna" Sekecil-kecil persaudaraan ialah berlapang dada(memaafkan dan bersangka baik tanpa ada sebarang hasad dan lain2) dengan sahabatnya, dan setinggi-tinggi persaudaraan ialah ithar(Melebihkan sahabatnya dalam segala hal)". Ini bukanlah pernyataan seorang yang jahil tentang agama kerana sebenarnya banyak suruhan dalam islam serta inilah apa yang ditunjukkan oleh nabi dan para sahabat.

Abdullah bin Umar bercerita "Ada seorang sahabat Rasulullah SAW pernah menerima hadiah dari sahabatnya berupa satu kepala kambing, tetapi ia menolaknya sambil berkata "Ah! Ada saudaraku memerlukan daripadaku. Maka baiklah diberikan kepadanya sahaja"

Kepala kambing itu dibawa ke tempat sahabatnya yang ditunjukkan tadi, tetapi orang yang kedua ini mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh orang yang pertama. Akhirnya kepala itu kembali kepada orang yang pertama setelah diedarkan kepada tujuh orang kerana merasakan saudaranya yang lain lebih memerlukannya"
'Atha' berkata" Perhatikanlah saudara2 mu itu di dalam tiga perkara iaitu jikalau dia sakit, ziarahilah dan jikalau ada yang dalam sibuk, berilah pertolongan dan jikalau ada yang lupa, maka peringatkanlah"
JAGA LIDAH ANDA

Jangan anda menyebut2 keburukan sahabat anda, baik dihadapannya atau berjauhan dengannya. Jadi, bersikaplah seolah-olah tidak mengetahui keburukannya. Jangan mengumpat tentangnya dan juga jangan mengumpat di hadapannya kerana ketahuilah jika anda berani mengumpat tentang orang lain di hadapannya, tidak mustahil anda juga berani mengumpat tentangnya kepada orang lain.

Anda patut sedar dua perkara iaitu anda bukanlah seorang yang sempurna dan sahabat anda tidak mungkin seorang yang sempurna. Ingatilah kebaikan2nya. Janganlah anda mengumpat di dalam hati iaitu berprasangka buruk terhadap sahabat anda. Selalulah bersangka baik kepada mereka dan cubalah sedaya upaya untuk tafsirkan yang buruk itu menjadi baik.

Jaga rahsia dan aib sahabat anda seboleh mungkin dan jika anda menghebahkannya juga, anda sebenarnya telah mengalami penyakit hasad yang amat tercela.

JANGAN BERBANTAHAN

Barangsiapa meninggalkan bantahan dan ketika itu ia di dalam keadaan salah, maka akan didirikanlah oleh Allah untuknya sebuah rumah dalam halaman syurga dan barangsiapa yang meninggalkan bantahan dan ketika itu ia benar, maka didirikan untuknya sebuah rumah di pertengahan syurga dan sesiapa yang baik akhlaknya, maka akan dibinakan untuknya oleh Allah tempat yang tertinggi di syurga.(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Meninggalkan bantahan jika di dalam keadaan yang salah adalah wajib, tetapi masih juga diberi ganjaran yang besar. Namun begitu, meninggalakn bantahan walaupun dalam kedaan yang benar adalah sunat tetapi diberi ganjaran yang lebih besar. Sebenarnya, ganjaran dinilai dari sudut betapa susahnya menahan diri dari berbantah sedangkan kita di pihak benar.

Ingatlah, selalunya dari berbantahan inilah puncanya perpecahan. Setiap perpecahan selalunya dimulakan dengan pertelingkahan, kemudian ditambah dengan sakit hati serta hasad dengki. Oleh itu, berjagalah dari ruang hasutan syaitan ini.

MENGERATKAN PERSAUDARAAN DENGAN UCAPAN

Ucapan yang baik akan mengeratkan persahabatan seterusnya menjadi asas terbentuknya sebuah persaudaraan islam. Hadis yang paling atas merupakan salah satu perkataan yang disuruh Islam untuk diperkatakan. Cinta- mencintai di kalangan mukminin amat disuruh di dalam syarak.

Umar ra berkata; "Ada tiga perkara yang dapat menyucikan kasih sayang terhadap saudara kamu, iaitu hendaklah engkau mendahului ucapan salam kepadanya di waktu bertemu, hendaklah engkau perluaskan tempatnya ketika di dalam majlis dan hendaklah engkau memanggil ia dengan menggunakan nama yang paling disukainya."

Pujilah kebaikan2 yang telah ia lakukan kerana itu akan memupuk kasih sayang dalam persahabatan namun tidak boleh berbohong serta melampau dan berlebih-lebihan. Cukup sekadar berkata yang benar sahaja. Ucapkanlah terima kasih selalu sebagai menghargai sahabatmu kerana ia telah berjasa kepadamu.

Masih banyak lagi yang saya mahu kongsikan dengan semua pembaca, namun akal telah mula kaku. InsyaAllah kita sambung lain kali. Sekian


Dari Abu Hamzah Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, “Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya”.(Bukhari dan Muslim)-hadis 40 An Nawawiyah




No comments:

Post a Comment