Ads 468x60px

Wednesday, January 18, 2012

Demi sebuah 'Kematian'

Bismillahirrahmanirrahim..

Wahai diri,
Terlalu banyak engkau menyimpang dari jalan sebenar.
Pernahkah engkau tersedar bahawa kehidupan ini adalah sebuah pengembaraan,
Perjalanan seorang musafir mencari keperluan,
Engkau berehat di bawah sebatang pohon,
untuk melepaskan kepenatan lalu menyambung perjalananmu,
Namun engkau leka dengan kesenangan sementara.

Wahai dunia,
Engkau adalah wanita tua yang bersolek
untuk menipu penghunimu.
Sedarkah engkau manusia ini sangat lemah dan bodoh
kerana bergembira di dalam kehidupan plastik.
hingga melupakan checkpoint kematian
yang bernatijah dua,
kehidupan atau kesengsaraan.

Wahai nafsu,
Engkau melonjak- lonjak dan memaksa - maksa.
Engkau menjadikan aku hanyut.
Bagaimana tidak aku hanyut?
kerana engkau adalah musuh yang aku cintai.
Laksana seorang kekasih sanggup mati di tangan kekasih kerana percintaan.
Jangan kau berani kaburkan aku dari tuhanku.
Aku sengsara..

Wahai manusia,
Jika engkau ketahui diri sebenar di sebalik diri ini.
Maka ketahuilah engkau,
Aku adalah hamba kotor,
Yang dilindungi oleh kemuliaan tuhanku,
Kemuliaan yang engkau pandang padaku,
Hanyalah kerana tuhanku tidak mahu menzahirkan kehinaanku.

Wahai Tuhan,
Aku buta di dalam terang,
Aku mencari di manakah engkau?
Namun, engkau tidak pernah menghilang,
malah Engkau amat hampir denganku
Ku akur,
Sesungguhnya aku telah menghilang di dalam keberadaanMu
Aku melarikan diri dari RAHMAT dan KEMURAHANMU
Namun, berani pula aku berhadapan dengan siksaMu yang maha pedih.
Ampuni Aku.

Wahai Tuhan,
Penderhaka ini kembali berpaling menghadapmu,
Jangan kau biar aku bersendirian tanpa petunjukMu,
Tertipu dalam mencipta landasan yang tidak pernah dan tidak mungkin wujud
Arahkan aku pada panduan KekasihMu
Semoga aku mampu bergerak di tengah- tengah kotoran mungkar ini.

Ya Allah, 
Kasihanilah dan ampunilah kami.

No comments:

Post a Comment